Judul : SMK Ayer Hitam Kini Menjadi Sekolah Dalam Taman Berinformasi
link : SMK Ayer Hitam Kini Menjadi Sekolah Dalam Taman Berinformasi
SMK Ayer Hitam Kini Menjadi Sekolah Dalam Taman Berinformasi
JERLUN – Persekitaran sekolah dengan landskap yang menghijau serta indah mampu memberi impak positif kepada pelajar, guru dan kakitangannya.
Menyedari perkara itu, pengurusan Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Hitam, di sini, melalui inisiatif pengetuanya, Zaini Rafie memberi peluang kepada warganya untuk terlibat sama bagi melahirkan sekolah dalam taman yang juga berinformasi dalam meningkatkan pengetahuan pelajar.
“Saya bersama barisan guru dan kakitangan lain sediakan persekitaran yang kreatif dan inovatif, namun tidak dilupakan ia berinformasi agar timbul minat dan keinginan pelajar untuk datang ke sekolah dan melakukan aktiviti yang berfaedah di sini seperti mereka berada di rumah,” katanya.
Bermotokan “Kerja Bagi Seronok, Sabar, Jangan Kalut” dan kata-kata semangat telah merubah landskap sekolah yang suram, kotor dan tidak selesa kepada yang bersih dan cantik hingga menjadi tumpuan waris dan rujukan guru-guru dari sekolah lain.
Hanya menggunakan barangan terpakai dan yang sedia ada, pihak sekolah dengan kerjasama Kelab Pembinaan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) sekolah itu membentuk ekosistem sekolah seperti berada di kampung.
“Kita letakkan (pokok) bunga di sudut dan kaki lima bangunan sekolah agar ceria, kita juga ada sepasang ayam hutan dan burung serindit di dalam Taman Herba. Dengan ayam berkokok dan suara burung berkenaan menjadikan seolah-olah mereka berada di kampung dan ini membentuk kombinasi seimbang dan memenuhi naluri semula jadi pelajar yang rata-ratanya datang dari kampung,” katanya ketika ditemui Bernama, di sini, hari ini.
Zaini berkata, antara tarikan dan kejayaan utama ialah dengan mewujudkan Taman Al-Sakinah yang memiliki sebuah wakaf dikelilingi tumbuhan renek dan berbunga bagi mencetuskan ketenangan dalam jiwa pelajar dan guru.
“Kita juga ada taman herba di mana di dalamnya ada pokok Tongkat Ali, Serai, Kunyit, Peria Pantai, Mahkota Dewa dan daun kari selain projek ternakan ikan air tawar dan kebun buah Durian Belanda,” katanya.
Menerusi projek-projek ini, para pelajar juga dilibatkan secara langsung menerusi subjek Sains Pertanian dan merasai sendiri pengalaman menternak ikan talapia, memberi makan dan menguruskan kolam ikan dan berkebun.
Sekolah itu juga dilengkapi taman-taman berinformasi lain seperti Taman Sains, Taman Sejarah, Taman Keladi, Taman Bahasa, Taman Tingkatan 6 turut diwujudkan selain persekitaran kafeteria yang diubah suai agar lebih selesa dan terbuka.
“Saya akan bertukar ke sekolah lain tidak lama lagi dan saya harap apa yang diusahakan ini akan diteruskan oleh guru generasi akan datang agar ia akan menjadi unggul dan berjaya dari semua segi,” katanya.
Zaini berkata, sehingga kini sekolah itu melepasi sasaran termasuklah pencapaian akademik , kokurikulum dan disiplin pelajar.
“Hubungan antara pelajar, guru dan ibu-bapa semakin erat. Kita juga aktif secara bersama dan mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Records menerusi acara kukur kelapa teramai, acara menjala ikan dan serkap ikan terbesar , serta logo sekolah paling besar dihasilkan menggunakan batu sejak 2002, dan sasaran kita selepas ini adalah menjadi sekolah harapan dalam akademik” katanya.
– BERNAMA
Loading...
First Appear On Online News Malaysia
Khabar Malaysia
Demikianlah Artikel SMK Ayer Hitam Kini Menjadi Sekolah Dalam Taman Berinformasi
Anda sekarang membaca artikel SMK Ayer Hitam Kini Menjadi Sekolah Dalam Taman Berinformasi dengan alamat link https://khabardarimalaysia.blogspot.com/2017/07/smk-ayer-hitam-kini-menjadi-sekolah_12.html