Judul : Haji Muda
link : Haji Muda
Haji Muda
Nama saya N, perempuan, berumur 36 tahun dan mempunyai 3 orang anak yang kesemuanya masih dibawah umur 6 tahun. Mempunyai anak yang masih kecil kegembiraan berhari raya memang benar-benar diraikan untuk memberikan pengalaman manis buat mereka. Jika mengikut saya,waktu ini fokus dan perasaan saya sudah melangkaui ke bulan Zulhijah. Bulan Haji.
Ketika saya mendaftar haji, saya berhajat untuk pergi bersama keluarga pakcik dan makcik kerana saya tinggal bersama mereka dan saya selesa untuk menunaikan Haji bersama. Saya masih ingat lagi bagaimana ramahnya staf Tabung Haji (TH) bertanya saya soalan Kenapa pergi dengan pakcik dan makcik? Bila saya jawab itulah mahram terdekat saya, spontan dia membalas Oh, sempat lagi nak cari mahram ni. Saya sekadar tersenyum dengan usikan tersebut. Pakcik dan makcik saya masih muda, ketika itu mereka berada dalam lingkungan 40 an. Maka lengkaplah saya mendaftar Haji tahun 2007 pada usia 26 tahun, belum berkahwin.
Pada tahun 2010, pakcik dan makcik memberitahu bahawa mereka akan pergi menunaikan Haji pada tahun tersebut dan meminta saya menjaga anak-anak mereka yang masih bersekolah rendah. Saya ketika itu sudah berkahwin bersetuju untuk menjaga anak mereka lantaran saya memang sudah biasa benar dengan dua kanak-kanak ini. Tidak terdetik pun rasa sedih dalam hati saya mengenangkan bahawa saya ini ditinggalkan atau tidak ada sebarang keinginan pun untuk tahu bagaimana mereka boleh pergi awal. Saya sekadar cukup dengan saya dah daftar, tunggu sahajalah giliran. Saya juga mempunyai kepercayaan, duit saya belum cukup pun, tentulah TH akan mendahulukan mereka yang sudah memenuhi syarat kewangan.
Masa berlalu, dari anak seorang, hinggalah anak 3 orang. Teringin juga hati hendak menunaikan umrah apabila melihat mudahnya rakan-rakan membawa anak masing-masing yang masih kecil namun hasrat itu sering kali terhalang apabila memikirkan kos kewangan. Saya juga berkira-kira bagaimana membawa anak kecil beribadat lama-lama, maka saya mengambil keputusan untuk membawa mereka setelah mereka dilatih solat, ke masjid dan bertahan dengar ceramah. Saya juga mula mendedahkan tentang ibadat umrah dengan mengajak mereka menonton TV atau mengiringi sahabat/saudara ke KLIA, saya akan menerangkan tentang jemaah umrah yang sedang menunggu penerbangan. Pada saya bila pergi biarlah dengan persediaan yang benar. Bukan untuk berjalan-jalan atau ikut ikutan.
Hinggalah pada November tahun lepas, saya mendapat surat dari TH mengatakan saya terpilih untuk menunaikan Haji pada tahun ini. Saya tidak dapat menggambarkan bagaimana perasaannya ketika saya membaca surat tersebut dan dengan hati yang sungguh berdebar saya nyatakan kepada suami supaya saya bukan sahaja mendapat izin malah saya mahu dia menemani saya sebagai mahram ke sana. Lama kami melayan perasaan. Bercampur baur rasanya apatah lagi memikirkan bahawa jika saya menerima tawaran ini, buku akaun TH itu perlu dipenuhkan dalam masa sebulan. Begitu juga jika suami mahu turut serta maka buku akaun beliau perlu dipenuhkan juga bermakna kami perlu menyediakan sejumlah wang yang besar. Apatah lagi di penghujung tahun, wang banyak diperlukan.
Ketika saya sibuk memikirkan tentang umrah, Allah memberikan hadiah yang lebih besar, pada waktu yang paling bermakna iaitu ketika saya masih muda, anak-anak masih belum bersekolah dan ibu bapa serta mertua berada di sekitar rumah saya. Apakah mungkin hanya diuji dengan kewangan maka saya menolak hadiah yang amat berharga ini? Mungkinkah ada kesempatan lain? Bagaimana saya mahu pastikan nyawa masih ada dan kesihatan masih segar?
Suami bersetuju untuk menjadi mahram. Maka beliau perlu membuat surat rayuan kepada TH. Tentang wang, kami cuba sehabis daya mencukupkan dalam tempoh waktu yang diberikan.Alhamdulillah, wang cukup buat saya suami isteri dan rayuan suami dijawab sekitar bulan Mac.
Pada kursus Haji pertama, saya merasa cukup terharu melihat ramai pasangan muda menghadiri bersama anak-anak mereka. Ada kanak-kanak leka dengan mainan, tab, buku dan ada juga yang membuat hal sendiri. Jika tidak kerana saya mendapat tawaran, saya mungkin tidak akan hadir ke kursus Haji. Betapa ruginya saya jika dibandingkan dengan mereka. Tidak cukup dengan itu, kami turut menghadiri kursus Haji dari tempat lain pula. Hingga ada sahabat yang hujung minggunya penuh dengan menghadiri kursus berkenaan. Merasakan makin banyak ilmu, makin banyak lagi yang perlu dipenuhkan.
Saya mula mempraktikkan amalan-amalan yang disarankan oleh penceramah Haji seperti bangun malam untuk solat, solat dhuha, berbuat baik dengan manusia, minta maaf, dan apa sahaja tentang Haji dan Umrah sudah menjadi minat saya. Kami mula bersenam, berjalan jauh dan menjaga pemakanan. Urusan anak-anak yang akan ditinggalkan mula difikirkan dengan teliti. Kami juga mempersiapkan emosi mereka supaya bersedia untuk ditinggalkan dan memberi gambaran apa yang bakal mereka tempoh.
Segalanya berubah hanya dengan sekeping surat tawaran.
Saya kini membilang hari dan berdoa bersungguh-sungguh supaya saya dapat menjadi tetamu Nya dengan sempurna.
Sebelum saya berangkat, memang pengalaman inilah yang ingin saya ceritakan supaya pembaca mendaftarlah dengan segera untuk menunaikan fardu Haji. Jangan leka lagi. Ini Rukun Islam yang ke 5. Kita dah buat 4 rukun dengan sempurna, kita jangan lupa ada rukun yang ke 5, yang tuntutannya wajib sekali seumur hidup.
Jangan kita beranggapan Haji hanya untuk orang tua, untuk orang kaya, bila dah cukup semua, bila anak dah besar, bila tidak ada tanggungan atau hutang. Salah.
Haji adalah tuntutan. Kita perlu mengusahakan. Daftar Haji, walaupun perkiraanya seratus tahun lagi. Pergi kursus Haji, siapkan kewangan, siapkan diri, berdoa sungguh-sungguh agar kita dijemput pada pada ketika muda dan berdaya.
Ketika kursus Haji, ramai pakcik makcik yang sudah menghadiri kursus berkali-kali. Menulis surat rayuan saban tahun, agar sampailah hajat untuk menunaikan Haji. Ada juga yang menolak tawaran pada satu ketika dahulu kerana ingin membuat majlis kahwin anak, ada juga yang menolak kerana anak sakit kronik. Dan kini menunggu jawapan untuk dapat peluang sambil tidak putus doa dan usaha.
Begitu juga jika kita baca di FB group Haji/Umrah, tahulah kita terlalu ramai yang menunggu peluang keemasan ini dalam keadaan bersedia. Jika esok dipanggil pergi, beg semua sudah ada. Bacaan doa dan keperluan apa semuanya sudah lengkap.
Bagaimana dengan kita? Kiranya kita tiba-tiba dikurniakan rezeki, tetapi kita tidak bersedia. Mungkin mudah sahaja kita menolak, dengan alasan esok masih ada. Kita masih muda.
Kerana itu, saya menggesa, bersegeralah kita dengan urusan Haji ini. Begitu juga, jika ada ibu bapa kita yang masih belum mempunyai kecukupan untuk ke sana, usahakanlah untuk mereka. Berilah apa sahaja bantuan, agar ibu bapa kita dapat pergi Haji sebelum mereka meninggal dunia.
Sebelum saya mengakhiri penulisan, ketika hari raya pertama, saya melawat seorang nenek saudara yang ingatannya sudah hampir ingat dan lupa. Masih mengingati beberapa perkara tetapi ia tidak mengikut susunan cerita. Namun apabila suami memberitakan tentang kami akan menunaikan fardu Haji, wajahnya bertukar riang. Nada suaranya berubah jelas. Beliau bertanyakan soalan yang berkenaan dan banyak kali dia menyatakan kegembiraan kerana kami dapat pergi dalam usia muda. Begitulah kuatnya memori Haji beliau.
Haji, adalah anugerah yang manisnya akan dirasakan jika kita ikhlas pergi mengadap-NYA.
Norhamimah Binti Nazaruddin
Sumber & Kredit: iiumc
First Appear On Online News Malaysia
Khabar Malaysia
Demikianlah Artikel Haji Muda
Anda sekarang membaca artikel Haji Muda dengan alamat link https://khabardarimalaysia.blogspot.com/2017/07/haji-muda.html