Judul : Peminat lari dari rumah
link : Peminat lari dari rumah
Peminat lari dari rumah
PENYANYI Datuk A Rahman Hassan pernah melalui zaman gemilang dengan irama Pop Yeh Yeh sekitar era 1960-an.
Bersama kumpulan muziknya, Nirwana yang ditubuhkan pada 1965, A Rahman mula mencipta nama menerusi lagu Tak Mengapa dan malar segar hingga kini meskipun sudah 50 tahun berlalu.
Mengimbas detik awal penglibatannya A Rahman mengakui minatnya dalam bidang seni bermula ketika masih bersekolah.
“Kalau ikutkan permulaan, ketika darjah enam saya dah mula berjinak-jinak dengan nyanyian. Bila dah masuk sekolah menengah, Alhamdulillah beberapa kali juga saya menjadi juara pertandingan menyanyi,” imbasnya yang mengakui tidak ‘mencari’ nama sebaliknya pengalaman.
Selepas tamat belajar, A Rahman berkhidmat sebagai kakitangan di Pos Malaysia dengan misi mengumpul wang membeli peralatan muzik.
“Sepatutnya ketika itu saya sambung belajar, tapi sebab minat dalam bidang seni, saya buat keputusan bekerja untuk cari duit.
“Gaji pertama saya sebanyak RM130 sebulan, dan dengan duit itu saya ke Singapura dan beli amplifier. Itulah motivasi terbesar saya mengejar impian selepas itu,” ujarnya.
Dia bersama beberapa rakan kemudiannya menubuhkan Nirwana pada 25 Mac 1965 dan kerap diundang mengiringi persembahan artis yang tidak mempunyai band ketika itu.
Menurutnya, mereka berpeluang menjadi artis rakaman selepas mendapat tawaran daripada penyanyi M Osman untuk berkolaborasi menghasilkan sebuah piring hitam (EP) yang memuatkan empat lagu.
“Arwah yakin dengan keupayaan kami. Jadi dia tawarkan kami buat EP menggabungkan dua buah lagu dari M. Osman dan dua lagi lagu dari Nirwana. Dari situlah terhasilnya lagu hits Tak Mengapa.
Utamakan disiplin
Selain lagu Tak Mengapa, A Rahman juga dikenali menerusi lagu-lagu seperti Harapanku, Bimbang, Aku kan Pergi dan Cincin Belah Rotan.
Mengakui berdepan pelbagai cabaran dalam usaha menempatkan diri dalam bidang seni, A Rahman berpendapat disiplin diri adalah tonggak utama dia dan rakan-rakan meraih kejayaan.
“Ketika itu memang ramai penyanyi hebat dan mempunyai kumpulan muzik iringan mereka sendiri. Untuk bersaing, kita perlu tampil dengan keistimewaan tersendiri yang boleh membezakan kita dengan penyanyi lain,” katanya yang menganggap keistimewaan Nirwana adalah penampilan suara latar.
Tambah A Rahman lagi, Nirwana turut menjadi perhatian kerana kebolehan dan kemampuan mereka bermain muzik dengan baik selain menjaga disiplin.
Kumpulan itu juga katanya, pernah merakam empat lagu dan ia bukan sesuatu yang mudah kerana perlu dilakukan secara live tanpa sebarang kesilapan.
Justeru, tambah A Rahman lagi, untuk memudahkan rakaman, mereka selalunya akan membuat latihan terlebih dahulu.
Ketika zaman kegemilangannya, penyanyi ini mengakui berdepan dengan kegilaan peminat yang kadang-kala begitu obses dengan artis yang mereka minati.
“Bila sebut tentang peminat, ada satu rahsia yang telah lama saya simpan kerana tidak mahu mengundang pelbagai anggapan yang tidak baik kepada peminat tersebut.
“Pernah satu ketika ada dua peminat perempuan yang lari dari rumah datang berjumpa dan tinggal dengan saya di rumah keluarga saya di Johor Bahru.
“Selepas bercerita dan mendengar apa yang mereka katakan, keluarga membenarkan mereka tinggal di rumah kami tanpa mendedahkan kepada sesiapa terutamanya kepada pihak media.
“Begitu juga dengan satu lagi kes di mana ada seorang peminat perempuan yang di tahan di hospital kerana menelan banyak pil kerana saya,” kenangnya.
Menyentuh perkembangan terbaru, A Rahman sekali lagi bakal terlibat dalam Konsert Gegar Pop Yeh Yeh yang dijanga berlangsung pada 4 dan 5 Ogos ini di Panggung Bangsawan Melaka.
Meskipun hampir 50 tahun berlalu, penyanyi veteran ini gembira kerana irama Pop Yeh Yeh masih lagi diingati ramai, bukan sahaja dalam kalangan generasi sama baya tetapi juga generasi baru.
“Awal tahun kita berpeluang buat konsert di Istana Budaya dan kali ini di Melaka, kami rasa sangat bertuah kerana muzik kami tidak pernah dipinggirkan meskipun zaman berubah,” katanya yang telah menghasilkan lebih 7 EP sepanjang kerjaya seninya.
The post Peminat lari dari rumah appeared first on Berita Viral.
| Online News MalaysiaKhabar Malaysia
Demikianlah Artikel Peminat lari dari rumah
Anda sekarang membaca artikel Peminat lari dari rumah dengan alamat link https://khabardarimalaysia.blogspot.com/2017/07/peminat-lari-dari-rumah_15.html